Panduan bajet untuk mempelai





Di sini dinyatakan beberapa panduan untuk bakal pengantin seperti anda melaksanakan bajet perkahwinan yang sederhana tetapi meriah memenuhi kepuasan segenap pihak.
1. Tarikh
Selepas bersetuju untuk hidup bersama, cari tarikh yang sesuai yang cukup untuk anda dan pasangan mengumpul duit bagi menempuh majlis perkahwinan yang tentunya memakan belanja yang agak besar 
(sekurang-kurangnya setahun, tempoh masa yang sesuai untuk mengumpul perbelanjaan)
2. Lokasi
Terpulang kepada kemampuan anda dan keluarga. Jika bajet ' besar' mungkin boleh mengadakan majlis perkahwinan di hotel atau kelab yang eksklusif tetapi jika bajet hanya sederhana sahaja, sebaik-baiknya adakan majlis perkahwinan di rumah atau dewan yang harganya berpatutan.
3. Mas kahwin & Wang Hantaran
Mas Kahwin adalah mengikut kadar yang telah ditetapkan di negeri masing-masing manakala wang hantaran ditetapkan oleh pihak keluarga perempuan. Namun sebaik-baiknya, berbincang dan ikutlah kemampuan pengantin lelaki. Jangan terlalu mahal kerana ini akan melambatkan perkahwinan yang suci ini.
4.Cincin Perkahwinan
Berpakatlah dengan pasangan anda untuk memilih cincin mengikut kemampuan dan tidak salah untuk memilih cincin emas kuning jika itu yang termampu oleh pasangan. Jangan pula memaksa untuk mendapatkan cincin berlian semata-mata mahukan kehendak anda dipenuhi!
5. Baju bersanding
Biasanya baju pengantin untuk majlis bersanding hanya dipakai sekali sahaja. Oleh itu adalah tidak munasabah untuk anda membeli dan menjadikannya sebagai koleksi peribadi. Sebaik-baiknya sewa dan pilih beberapa pasang lagi yang boleh dijadikan baju bertandang. 

6. Pelamin
Buat tinjauan dari pelbagai butik dan sesuaikan dengan bajet anda. Jika anda bernasib baik, mungkin akan mendapat harga yang lebih murah dari yang ada di pasaran.

7. Bunga telur dan cenderahati
Buat sendiri akan menjimatkan kos yang sedia ada. Tidak terlalu susah jika ada usaha dan kemampuan. Lihat sahaja majalah pesona pengantin dan cuba sesuaikan dengan cita rasa anda sendiri. Bayangkan jika anda melakukan sendiri cenderahati dalam jumlah yang besar seperti 1000 biji, sudah tentu jumlah ringgit yang akan dijimatkan juga agak banyak. 

8. Solekan dan dandanan
Jika anda hanya mengambil pakej solekan dan dandanan sahaja, sudah tentu harganya agak mahal, apa kata anda rangkumi dengan pakej pengantin, alas dulang, dulang hantaran, baju bersanding dan aksesori. Sudah tentu pakej yang ditawarkan juga menepati bajet anda. 

9.Foto & Video
Utamakan bajet untuk gambar dan rakaman majlis perkahwinan anda kerana ia hanya akan berlangsung sekali seumur hidup sahaja. Pastikan anda memilih jurugambar yang tepat supaya dapat merakamkan saat manis anda berdua. Jika tidak mampu untuk mengupah juruvideo profesional, minta pertolongan dari rakan-rakan untuk merakamkan saat manis ini.
10. Katering & Kanopi
Pastikan anda menentukan jumlah makanan yang dihidangkan melebihi jumlah tetamu yang dijemput. Bimbang jika makanan yang dihidangkan tidak mencukupi. Jadi buat pengiraan kasar berapa ringgit untuk satu kepala dan berapa jumlah kanopi yang diperlukan bagi menampung kehadiran tetamu. 

11.Kad Jemputan
Tidak perlu kad jemputan yang mahal atau berhelai-helai panjangnya semata-mata untuk menjemput tetamu. Anda boleh menggunakan kreativiti dengan mencetak kad jemputan sendiri.
12.Barang Hantaran
Tiada istilah minimum atau maksimum dalam menghadiahkan barang hantaran kepada pasangan masing-masing. Namun jika kurang berkemampuan, anda boleh menyediakannya dalam balasan yang sederhana seperti tujuh dulang berbalas sembilan dulang hantaran. Yang penting ialah setiap barangan boleh digunakan selepas majlis perkahwinan itu sendiri.
13. Kompang
Terpulang, jika anda merasakan bajet sudah berlebihan, pasang sahaja kaset dan ini sudah merangkumi kemeriahan majlis.

oleh: Zetty Sakina Dewi Zainoddin ( Majalah Pesona Pengantin, Ogos 2010)


Artikel menarik yang lain:


No comments:

Post a Comment